17 April 2009

‘KEM BINA SAHSIAH DIRI 2009’

SK PARIT MELANA

Oleh: Cikgu Razman Mohammad

Sahsiah seseorang murid merupakan aset yang amat penting untuk melahirkan modal insan yang cemerlang. Tanpa bimbingan dan asuhan pada peringkat awal yang khusus, generasi ini mudah terdedah dengan pelbagai gejala keruntuhan akhlak yang amat membimbangkan dewasa ini.

Lantaran itu, baru-baru ini pihak SK Parit Melana bersama Bahagian Pembangunan Rumahku Syurgaku, Jabatan Ketua Menteri Melaka, dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru telah menganjurkan ‘Kem Bina Sahsiah Diri 2009’ yang bertemakan “Sahsiah Cemerlang Penjana Insan Gemilang”.

Objektif program ini adalah untuk memberi kesedaran, keinsafan serta memahami bahawa sahsiah diri yang unggul dapat menjamin kecemerlangan diri pada masa hadapan.

Program yang disertai oleh murid-murid tahun 6, pengawas-pengawas sekolah bermula pada 13 – 15 Februari 2009 bertempat di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, Melaka. Aktiviti selama 3 hari 2 malam ini telah dikendalikan oleh Jazim Motivation Group Melaka di bawah pimpinan Pengarah Urusan, Mohd Fadly bin Samin.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti Ice Breaking & Group Binding, Kembara Malam, Latihan Dalam Kumpulan(LDK), ESQ Module dan ceramah motivasi bertajuk ‘Ciri-Ciri Pemimpin Terbilang’ dan ‘Motivasi & Muhasabah Diri’.

Menurut Nur Aimi Sairah Sabtu murid tahun 6, program ini sangat menarik dan memberi banyak manfaat kepada dirinya. Menurutnya lagi, aktiviti ‘Kembara Malam’ adalah aktiviti yang paling digemarinya kerana dapat menguji keberanian, minda dan keimanan.

Adik Mohamad Khairil Samsudin pula berpendapat aktiviti ceramah bertajuk ‘Renungan Sejenak’ oleh ustaz Fadly sungguh menyentuh hati dan membuatkan kami semua mengalirkan air mata mengenangkan segala jasa ibu dan guru.

Adik Noorli Hayati Samsudin pula ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada abang-abang dan kakak fasilitator yang banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat yang berguna. Kami semua berharap agar program ini diadakan lagi pada tahun hadapan.

Pada hari terakhir, turut diadakan ‘Majlis Aku Janji’ oleh murid-murid tahun 6 yang akan menduduki UPSR pada tahun ini. Murid dikehendaki menandatangani surat Aku Janji di hadapan pentadbir sekolah dengan ditemani ibu dan bapa masing-masing.

Majlis penutupan program disempurnakan oleh Ustaz Johari Hj. Yusuf, Pengarah ‘Rumahku Syurgaku’ Jabatan Ketua Menteri Melaka.