26 April 2009

PROGRAM INTERAKTIF ANTARA PELAJAR

SK PARIT MELANA

(MALAYSIA)

LOYANG PRIMARY SCHOOL

(SINGAPORE)

Oleh:

Cikgu Razman Mohammad

Pada 11 Jun 2008 yang lalu, buat kali pertamanya SK Parit Melana berjaya menganjurkan satu program Interaktif antara pelajar SK Parit Melana, Durian Tunggal, Melaka dan Loyang Primary School, Singapore. Tujuan program ini diadakan adalah untuk mengeratkan silaturahim antara pelajar dan guru bagi dua buah negara. Selain itu, program ini juga bertujuan memperkenalkan budaya Melayu negeri Melaka kepada guru dan pelajar Loyang Primary School Singapore melalui konsep “Pembelajaran Kebudayaan melalui Pelancongan”.

Ketibaan rombongan daripada Singapore disambut meriah oleh guru-guru, Yang Dipertua PIBG, En. Adam Mohamad dan para pelajar dengan paluan kompang. Mereka kemudiannya diarak oleh pasukan bunga manggar beserta tepak sireh dan sireh junjung lengkap berpakaian Melayu Tradisional ke dewan Bestari berkonsepkan tradisional Melayu. Di situ tetamu dan tuan rumah diminta duduk bersila dalam majlis meraikan tetamu. Selesai sahaja majlis itu, aktiviti suai kenal antara para pelajar SK Parit Melana dan Loyang Primary School diadakan bagi mengeratkan hubungan mereka.

Acara kemuncak ialah apabila para peserta rombongan telah disajikan dengan Majlis Perkahwinan Olok-Olok berkonsepkan Kebudayaan Melayu Melaka. Mereka telah disajikan dengan adat dan juga budaya Melayu yang masih diamalkan seperti pencak silat, berbalas pantun antara rombongan pengantin lelaki dan perempuan, acara menepung tawar oleh guru dan juga pelajar, persembahan Nazam, dan juga syair. Kesemua aktiviti perkahwinan olok-olok ini dilakukan oleh pelajar tahun 4 dan 5 SK Parit Melana dibawah pimpinan Puan Suhailah dan Cik Nuri Naserah.

Rombongan dari Loyang Primary School juga ada menyajikan persembahan nyanyian dan tarian aerobik kepada semua tetamu.

Peserta program juga disajikan dengan permainan tradisional iaitu ‘Tarik Upeh’, ‘Bowling Kelapa’, dan ‘Menyeret Rim basikal’. Permainan ini diadakan secara pertandingan dan setiap kumpulan diberikan nama-nama pahlawan dan pembesar Melaka seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Tun Perak, Tun Fatimah dan Tun Mutakhir.

Setelah selesai, para peserta dibawa melawat kelas Pendidikan Khas dan Pusat Sumber sekolah. Acara menanam pokok bunga Kesidang juga turut diadakan oleh wakil pelajar dan guru. Peserta program telah disajikan dengan makan tengah hari berkonsepkan Melayu tradisonal iaitu makan secara bersila dan berhidang. Program berakhir pada sebelah petang dengan lawatan bersama-sama ke Tropical Fruit Farm, Sungai Udang.

Pengerusi Program iaitu En. Mohd Rahdi Hj. Ahmad amat berpuas hati dengan penglibatan semua pihak yang menjayakan program yang julung kali diadakan di sekolah ini. Menurut beliau, secara keseluruhannya program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan telah memberikan pengalaman baru kepada para peserta melalui pendedahan mengenai kebudayaan Melayu Melaka.

Menurut ketua rombongan Loyang Primary School, Cikgu Md Zaren, sambutan yang diberikan oleh pihak sekolah Parit Melana amat hebat dan di luar jangkaan. Beliau juga menegaskan bahawa program ini wajar diketengahkan kerana banyak memberi manfaat kepada guru dan pelajar . Ini kerana mereka dapat mengalami sendiri pengalaman dalam majlis perkahwinan dan permainan tradisional yang amat jarang dialami di tempat mereka pada masa kini.


Program Alam Sekitar 2009

HONDA (M) Sdn. Bhd dan SK Parit Melana

dengan kerjasama

Pejabat Pelajaran Daerah Alor Gajah.

Oleh: Cikgu Razman Mohammad

Baru-baru ini telah diadakan program alam sekitar anjuran HONDA(M) dan SK Parit Melana dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Alor Gajah bertempat di SK Parit Melana. Program ini melibatkan seramai 150 murid SK Parit Melana termasuk penyertaan sekolah-sekolah di kawasan DUN Durian Tunggal. Turut serta adalah guru-guru serta staf SK Parit Melana, pegawai dan kakitangan Honda, PIBG, Belia, dan masyarakat setempat. Turut serta menjayakan program ini ialah Jabatan Alam Sekitar yang mengadakan pameran berkaitan alam sekitar. Program ini bertujuan memberi kesedaran kepada murid-murid dan komuniti betapa pentingnya menjaga alam sekitar.

Dalam program ini pihak Honda telah menyumbang sebanyak kira-kira 1,500 pelbagai jenis pokok untuk ditanam secara bergotong-royong. Antara pokok yang disumbangkan oleh pihak Honda ialah ‘Helicornia Dwaf’, ‘Red Palm’, ‘Veitchia Merrilli’, ‘Portilaka’, ‘Bourgenvilla’ dan beberapa pokok herba seperti ‘Nilam’, ‘Sabung Ayam’, ‘Tujuh Jarum’ dan ‘Misai Kucing’.

Selain gotong-royong turut diadakan juga sesi ceramah alam sekitar dan juga Rhino-Talk oleh pihak Honda untuk murid-murid dalam memberi kesedaran pentingnya menjaga alam sekitar dan badak Sumatra.

Ketua Pegawai Operasi (COO) yang juga Presiden Honda Malaysia, En. Azman Idris turut hadir pada Majlis Pelancaran Program Alam Sekitar itu yang telah dirasmikan oleh wakil Pegawai Pelajaran PPD Alor Gajah, En. Md Isa Budin. Pada majlis tersebut pihak Honda juga telah menyerahkan tong-tong kitar semula dan juga dua batang pokok “Red Palm” kepada guru-guru besar sekolah rendah kawasan DUN Durian Tunggal.

Sebelum majlis bersurai, diadakan juga gimik perasmian program iaitu acara menanam pokok “Veitchia Merrilli” oleh Guru Besar Pn. Safiah Sharif (SK Parit Melana), En. Azman Idris (COO) Honda (M), dan En. Md. Isa Budin(PPD Alor Gajah).

PERAGUT MALANG

Karya…

Nor Afiqah Hani Senin

SK Parit Melana

6 Bestari

April/2009

Pada suatu petang, aku dan abang aku baru pulang dari sekolah. Tiba-tiba telingaku dapat menangkap bunyi wanita menjerit meminta tolong. Tolong! Tolong! Peragut!. Jeritan itu seperti tidak berapa jauh dari tempat kami tercegat berdiri. Ini tidak boleh dibiarkan, detik hatiku. Aku mesti mengambil tindakan untuk mengambil semula beg tangan wanita tersebut.

Antara tindakan yang aku ambil ialah pertama, aku menyuruh abang aku mencari pondok telefon yang terdekat untuk menelefon polis. Kami melihat dua orang anak muda berlari kencang melintasi jalan sambil membawa beg tangan yang baru diragutnya. Tanpa membuang masa, aku terus mengejar peragut tersebut sambil menjerit. “Pencuri! Tangkap orang itu!” aku berteriak dengan suara garauku. Jeritanku membuatkan beberapa orang pemuda yang berada di situ ingin membantu. Mereka juga turut mengejar. Pencuri itu berlari semakin kuat.

Sejurus selepas itu, salah seorang daripada pemuda tersebut meluahkan kata-kata. “Tangkap pencuri itu!” Semasa sedang mengejar peragut tersebut, ada seorang pemuda yang agak berusia baru hendak keluar daripada kererta ternampak kejadian ini dan cuba ingin membantu dengan menarik baju peragut tersebut tetapi peragut itu berjaya melarikan diri.

Selepas itu, peragut itu terus lari menuju ke satu lorong selebar satu setengah meter. Lorong itu pemisah antara dua buah bangunan. Kami pun mengikut sekali lelaki itu. Lankah lelaki itu terhenti apabila tiba di hujung lorong yang merupakan jalan mati. Lelaki itu mula gelabah. Dia memandang ke belakang dengan wajah yang cemas. Kami melangkah setapak demi setapak ke hadapan dengan penuh yakin.

“Saya…saya… akan pulangkan beg ini…,” luah pemuda yang berkemeja –T dan berseluar jean lusuh dengan kata-kata yang tergagap-gagap. Pada waktu itu pasukan polis pun sampai. Tanpa bersoal jawab, kami terus memberkasnya. “Ceritalah di balai polis nanti, “ ujarku dengan rasa geram. Seterusnya, kami menerangkan kedudukan kami yang sebenarnya kepada seorang pegawai polis muda itu. Tangan peragut itu digari dan dibawa masuk ke dalam lokap. Pegawai polis itu mengucapkan terima kasih kepada kami termasuk abangku.

Setelah itu, aku dan abang aku terus pergi kea rah wanita itu untuk memulangkan beg tangannya. Wanita itu pun menghampiri kami. Pada wajahnya ada sedikit keriangan. Apabila wanita itu membuka beg tangannya, dia amat gembira kerana tiada barang yang hilang. Wanita itu mengucapkan terima kasih kerana menolongnya. Wanita itu menghadiahkan RM5.00 setiap seorang kepada kami. Aku dan abang cuba menolak pemberiannya secara ikhlas, namun wanita itu tetap untuk memberikannya kepada kami berdua.

Selepas aku dan abang pulang, kami menceritakan apa yang berlaku petang tadi kepada emak dan ayah. Mereka mendengar dengan peniuh perhatian. “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu,” kata ayah. Kami berdua berasa gembira kerana dapat menolong orang yang dalam kesusahan pada hari ini.