13 October 2010

Laporan Kejohanan Sukan Tahunan SK Parit Melana 2010

Pada 20 Mac 2010 yang lalu, Sekolah Kebangsaan Parit Melana telah mengadakan Kejohanan Sukan Tahunan kali ke-25 bertempat di padang sekolah.

Pada hari kejohanan tersebut, atur cara majlis telah dimulakan dengan perbarisan lintas hormat yang melibatkan rumah sukan dan unit beruniform. Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh guru besar. Kemudian disusuli pula dengan ucapan perasmian oleh Yang Berhormat Datuk Ab Wahab Bin Ab Latip, ADUN Durian Tunggal.

Setelah selesai majlis perasmian, acara sukaneka membuka gelanggang dengan menampilkan pelbagai aksi murid-murid tahap 1. Mereka menyertai pelbagai acara antaranya lari mengepit bola dan lari membawa bola ping pong dengan sudu. Seterusnya sukan olahraga bermula dengan acara 100 meter, 200 meter dan 4 x 100 meter.

Tepat jam 10.00 pagi, semua murid dibenarkan berehat untuk makan dan minum. Semasa rehat, pertunjukan taekwando telah dipersembahkan oleh ahli-ahli Kelab Teakwando sekolah. Acara disusuli dengan persembahan senamrobik oleh murid-murid Tahun 1.

Seterusnya ialah acara penyampaian hadiah kepada para pemenang. Guru besar telah menyampaikan hadiah kepada olahragawan sekolah iaitu Mohd Asri Bin Alias dan olahragawati sekolah iaitu Anis Masyitah Bt Ali. Rumah Hang Tuah pula telah diumumkan sebagai johan keseluruhan pada tahun ini.

Murid-murid berasa gembira melihat kemeriahan kejohanan sukan pada tahun ini. Sebelum bersurai, murid-murid telah membantu guru-guru membersihkan padang. Kejohanan berakhir kira-kira pada pukul 4.00 petang.

Laporan disediakan oleh, 25 Mac 2010

Atikah

(ATIKAH BT HASHIM)

Setiausaha,

Majalah Sekolah,

SK Parit Melana.