05 December 2009

Majlis Ucapan dan penyampaian Hadiah KYS




MELAKA: Kira-kira 800 orang guru termasuk ibu bapa dan pelajar Kolej Yayasan Saad menghadiri Majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah kali ke-14, yang berlangsung di Dewan Besar kolej terbabit di Ayer Keroh dekat sini baru-baru ini.

Majlis bertemakan ‘Pelajar Versatil Pembina Negara Bangsa’ itu dirasmikan tokoh kartunis tersohor negara, Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali dengan Datuk Lat.

Pada majlis itu, KYS turut menyampaikan pelbagai anugerah kepada pelajar antaranya Anugerah Khidmat Setia Bakti, Pencapaian Terbaik Sukan dan Kokurikulum, Anugerah Orkestra, Hadiah Ketua Pelajar, Hadiah Pencapaian Akademik, Anugerah Ibu Bapa, Hadiah Penghargaan Tan Sri Halim Saad 2009 dan Pingat Emas Tan Sri Halim Saad 2008.

Lat dalam ucapan perasmiannya, berkata sesuatu pekerjaan yang diceburi seseorang itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dan penuh rasa minat selain berusaha membawanya ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, sokongan dan pengiktirafan daripada ahli keluarga keluarga, rakan serta masyarakat sekeliling amat perlu bagi menjadikan diri seseorang itu lebih bersemangat untuk berjaya dalam bidang yan diceburi.

”Jadi, kepada pelajar semua, belajarlah bersungguh-sungguh dan jangan lupakan orang di sekeliling kita apabila telah berjaya kelak,” katanya.

Sementara itu, Rozalli menyarankan program untuk melahirkan pelajar berkebolehan semulajadi atau Pelajar Pintar di kolej itu hendaklah dirancang secara terbuka dan fleksibel bagi mengasah serta menambah nilai bakat pelajar terbabit.

Penerima Hadiah Penghargaan Tan Sri Halim Saad 2009, Mohammad Hazim Bin Mohamad, ketika ditemui berkata, beliau gembira dan bersyukur dengan anugerah yang diterima itu, sekali gus menjadi pendorong untuk dia terus gigih bagi mencapai kejayaan pada masa hadapan.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengelola KYS, Rozalli Nordin, Ahli Lembaga Pengelola, Prof. Ibrahim Ahmad Bajunid dan Pengetua, Noor Ainon Yang Rashidi.











Dato' Lat bersama ahli keluarga penerima anugerah Ybhg Tan Sri Halim Saad.


KARNIVAL CERGAS DAN CERDAS PENDIDIKAN PRASEKOLAH KAWASAN ALOR GAJAH TAHUN 2009



Alor Gajah: SK Simpang Empat muncul johan keseluruhan dalam acara sukaneka, acara ‘Mekanik Cilik’ dan ‘Gelung Guni’ dalam program Karnival Cergas Cerdas anjuran Jabatan Pelajaran Melaka dan Pejabat Pelajaran Daerah Alor Gajah.

SK Simpang Empat juga johan dalam acara olahraga iaitu 50 meter lelaki dan 25 meter berganti-ganti lelaki. Manakala dalam acara 50 meter perempuan pula hanya memperoleh tempat ketiga.

Dalam karnival ini, sebanyak 31 buah sekolah di daerah Alor Gajah telah menyertai program yang diadakan setiap tahun bertujuan meningkatkan penguasaan motor halus dan kekuatan fizikal murid dalam aktiviti-aktiviti fizikal, selain dapat memupuk semangat setiakawan dan kerjasama semasa menjalankan aktiviti seterusnya untuk membina semangat yakin diri dalam diri murid.

Kira-kira 250 orang terdiri guru-guru prasekolah, ibu bapa, pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah dan penduduk setempat menghadiri karnival yang berlangsung di di padang SK Belimbing Dalam, Durian Tunggal baru-baru ini.

Pelbagai acara telah dipertandingkan iaitu lari 50 meter, lari 4 x 25 meter, ‘Mekanik Cilik’, ‘Big Foot’, ‘Bom Air’, ‘Upih dan Ipin’, ‘Gelung Guni’ dan ‘Anak Ketam Makan Aiskrim’.

Turut diadakan adalah acara perbarisan Lintas Hormat oleh murid-murid yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh wakil Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Alor Gajah, En Zahiran Bin Yahya.

Dalam ucapannya beliau menyatakan rasa bangga dan gembira dengan penganjuran karnival pada kali ini. Harapan beliau agar penglibatan murid yang aktif dalam program ini dapat menyuburkan potensi diri mereka pada masa hadapan.

“ Terima kasih kepada semua yang terlibat kerana telah memberi komitmen dan kerjasama yang tinggi untuk melancarkan perjalanan program ini” katanya kepada Berita Harian.

Pn. Norpidah bt Idris, 37, berkata program seumpama ini amat bagus kerana dapat memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai sukan dan dapat memupuk mereka mengamalkan gaya hidup sihat apabila besar nanti.

Pn. Hanisah Bt Hamid, berkata beliau sungguh gembira dan bangga dengan kebolehan yang ditunjukkan oleh anak didiknya sehingga berjaya muncul johan keseluruhan acara sukaneka dan olahraga sekaligus mengharumkan nama sekolah.

“Saya berharap bakat mereka akan dikembangkan lagi apabila mula bersekolah pada tahun hadapan.Semoga mereka akan lebih berjaya lagi pada masa akan datang” katanya.

Perkhemahan RIMUP Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) 2009




JASIN: Seramai 120 murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Melaka telah menyertai aktiviti Perkhemahan RIMUP Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) 2009 peringkat sekolah melibatkan tiga buah sekolah iaitu SK Batang Melaka, SJK(C) Kiow Nam, dan SJK(T) Batang Melaka.

Menurut Guru Besar SK Batang Melaka, merangkap pengerusi RIMUP, Minhat Azam, program diadakan bermatlamat melahirkan generasi Malaysia yang berilmu pengetahuan, memiliki jiwa dan peribadi unggul, bersemangat muhibbah dan mampu menghadapi cabaran secara kolektif dan bersepadu. Ini dapat dicapai melalui pelbagai aktiviti perkhemahan yang melibatkan pelbagai kaum.

Katanya, murid perlu didedahkan dengan lebih banyak program yang menekankan perpaduan dalam kalangan kaum di negara ini bagi menjamin kelangsungan perpaduan yang telah lama dijalin antara pelbagai kaum.

Tegasnya lagi, sekiranya kita semua bersatu padu antara satu sama lain, nescaya kita akan menjadi sebuah negara yang lebih kuat dan dihormati di seluruh dunia.

“Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini kerana telah berjaya mencapai matlamat yang digariskan,” katanya.

Menurut Kem Komandan, Hazizie Hashim, bagi meningkatkan semangat 1Malaysia dalam kalangan murid, setiap khemah dan juga kumpulan disyaratkan mempunyai pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

Katanya, melalui cara ini mereka akan dapat berkongsi kemudahan, peralatan, tenaga bagi menjayakan kegiatan secara bersama-sama.

“Pelbagai program diatur seperti ice-breaking, senamrobik, pertandingan memasak dan malam kebudayaan serta aktiviti memasak ubi kayu, ubi keledek dan ubi kentang secara bergotong-royong dan makan beramai-ramai,” katanya.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah disempurakan oleh Penghulu DUN Asahan, Mohd Yusuf Botak mewakili YB Datuk R. Perumal ADUN Asahan.

Dalam ucapannya, Mohd Yusuf berkata semangat perpaduan di antara pelbagai kaum amat penting diterapkan dalam kalangan murid sekolah sejak di peringkat awal bagi melahirkan persefahaman dan sikap toleransi di antara mereka.

Selain itu, melalui program ini juga akan dapat mewujudkan sikap bekerjasama, tolong-menolong seterusnya akan mewujudkan suasana muhibbah secara sedar dan terancang sesama peserta.

Katanya lagi, usaha murni ini merupakan platform baik bagi mengukuhkan lagi semangat kekitaan dalam kalangan warga negara dan selaras dengan konsep 1Malaysia yang menekankan aspek perpaduan kaum. Jesteru, program seumpama ini hendaklah diteruskan atau dipraktikkan oleh murid apabila berada dalam kelompok masyarakat sebenar.

Sementara itu, Nur Nabihah Ruzzlan,12, berkata pengalaman mengikuti program ini amat seronaok kerana dapat ramai kenalan baru daripada pelbagai kaum dan dapat merealisasikan matlamat 1Malaysia.

Seorang wakil SJK (T) Batag Melaka, K. Vishwa, 12, pula berkata terdapat pelbagai aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain dan mempelajari budaya pelbagai kaum.

Liaw Boon Jian, 12, berkata aktiviti yang dijalankan sangat seronok dan dapat membentuk sikap berdikari.

Turut hadir ialah Pegawai Pelajaran Daerah Jasin,(PPD), Yusuf Ahmad, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SJK(C) Kiow Nam, Pong Lum Soon, Guru Besar SJK(T) Batang Melaka, Pn. C. Sarojini, GPK Hal Ehwal Murid (HEM) SJK(C) Kiow Nam, Low Chai Liyin, Pengerusi JKKK Batang Melaka, Sidang Hasan Maadah, Pengerusi Belia 4B Cawangan Batang Melaka, Sharif Subuh, wakil MCA dan MIC serta para ibu bapa.

SK Datuk Haji Baginda Juara Pertandingan Bercerita



Sekolah Kebangsaan Datuk Haji Baginda, Umbai Melaka dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Bercerita Bahasa Melayu Sekolah Rendah sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) peringkat negeri Melaka 2009 yang diadakan di Dewan Alamanda, Majlis Perbandaran Jasin, dekat sini baru-baru ini.

Pertandingan diadakan bertujuan memupuk dan menggerakkan para pelajar sekolah rendah menguasai dan menghargai bahasa kebangsaan bagi menggalakkan para pelajar membaca seterusnya menghayati karya kreatif dan dengan niat untuk menyuburkan perasaan cinta dan sayang terhadap Bahasa Melayu.

Kejayaan itu melayakkan Anis Atiqah Bt Jasmani, SK Datuk Haji Baginda membawa hadiah wang tunai berjumlah RM200, buku dan sijil, manakala naib juara dimenangi Abdul Rasyid Bin Abdul Razak, Sekolah Kebangsaan Telok Mas yang menerima hadiah RM150, buku beserta sijil. Tempat ketiga pula dimenangi Siti Nur Aqilah Bte Sanadi, Sekolah Sacred Heart yang menerima RM100, buku beserta sijil.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh YB Datuk Haji Ab. Wahab Bin Ab. Latip, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Sains & Teknologi da Sumber Manusia.

Ab. Wahab dalam ucapannya pada majlis itu melahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah dan syabas kepada para peserta yang memiliki kebolehan dan keberanian untuk membuat persembahan di khalayak ramai sejak di usia muda lagi.

Beliau berkata, penguasaan pelbagai bahasa amat penting sebagai nilai tambah kepada kualiti diri seseorang murid.

Selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan YAB Perdana Menteri kita, bahasa Melayu sebenarnya merupakan alat yang paling berkesan untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini. Oleh itu kita sepatutnya mengamalkannya sepanjang masa semasa berkomunikasi antara satu sama lain.

SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK DAN JAMUAN AIDIL FITRI SK PARIT MELANA 2009




Baru-baru ini bertempat di kantin Bestari SK Parit Melana telah diadakan sambutan Hari Kanak-kanak peringkat sekolah sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia dan jamuan mesra Aidil Fitri untuk warga sekolah.

Program tahunan ini bertujuan untuk meraikan murid sekolah berkenaan sempena Hari Kanak-kanak di samping mengadakan jamuan bagi mengeratkan hubungan antara guru, murid dan warga sekolah.

Pelbagai program diatur sepanjang program sehari iaitu pertandingan ‘Bintang Kecil 1Malaysia, SKPM 2009’ yang merupakan acara kemuncak bertujuan mencungkil bakat terpendam pelajar diikuti jamuan Hari Raya Aidil Fitri untuk warga sekolah.

Menurut En. Mustaffa Mohamad, Ketua Panitia Muzik merangkap Pengerusi pertandingan, pada tahun ini seramai 36 orang murid telah mengikuti uji bakat dan hanya 12 orang yang berjaya terpilih ke peringkat akhir untuk membuat persembahan . Acara pada tahun ini menampilkan bakat baru iaitu adik Faizudin Jefri, 9, yang menyanyikan lagu 60-an.

’Tahniah dan syabas kepada para pemenang kerana telah menunjukkan bakat masing-masing dalam pertandingan pada tahun ini dan berharap dapat melakukan yang terbaik pada masa akan datang”, katanya kepada Berita Harian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Para tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah tradisional seperti lemang, ketupat, rendang, dan kuih seri muka. Di samping itu, turut dihidangkan juadah yang disediakan sendiri oleh guru-guru seperti nasi minyak, bihun dan pelbagai kuih-muih moden.

Adik Nasyatun Najiha bt Mustaffa, 12, muncul johan pertandingan dan diikuti masing-masing tempat kedua oleh adik Faizuddin bin Jefri, 9, dan ketiga adik Fildza Afif bin Mustaffa, 11.

Hadiah-hadiah berupa wang tunai dan hamper kepada para pemenang telah disempurnakan oleh GPK Kurikulum, Pn. Kamisah Bt Abdullah.

Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, En. Adam bin Mohamad.