05 December 2009

Perkhemahan RIMUP Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) 2009




JASIN: Seramai 120 murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Melaka telah menyertai aktiviti Perkhemahan RIMUP Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) 2009 peringkat sekolah melibatkan tiga buah sekolah iaitu SK Batang Melaka, SJK(C) Kiow Nam, dan SJK(T) Batang Melaka.

Menurut Guru Besar SK Batang Melaka, merangkap pengerusi RIMUP, Minhat Azam, program diadakan bermatlamat melahirkan generasi Malaysia yang berilmu pengetahuan, memiliki jiwa dan peribadi unggul, bersemangat muhibbah dan mampu menghadapi cabaran secara kolektif dan bersepadu. Ini dapat dicapai melalui pelbagai aktiviti perkhemahan yang melibatkan pelbagai kaum.

Katanya, murid perlu didedahkan dengan lebih banyak program yang menekankan perpaduan dalam kalangan kaum di negara ini bagi menjamin kelangsungan perpaduan yang telah lama dijalin antara pelbagai kaum.

Tegasnya lagi, sekiranya kita semua bersatu padu antara satu sama lain, nescaya kita akan menjadi sebuah negara yang lebih kuat dan dihormati di seluruh dunia.

“Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini kerana telah berjaya mencapai matlamat yang digariskan,” katanya.

Menurut Kem Komandan, Hazizie Hashim, bagi meningkatkan semangat 1Malaysia dalam kalangan murid, setiap khemah dan juga kumpulan disyaratkan mempunyai pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

Katanya, melalui cara ini mereka akan dapat berkongsi kemudahan, peralatan, tenaga bagi menjayakan kegiatan secara bersama-sama.

“Pelbagai program diatur seperti ice-breaking, senamrobik, pertandingan memasak dan malam kebudayaan serta aktiviti memasak ubi kayu, ubi keledek dan ubi kentang secara bergotong-royong dan makan beramai-ramai,” katanya.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah disempurakan oleh Penghulu DUN Asahan, Mohd Yusuf Botak mewakili YB Datuk R. Perumal ADUN Asahan.

Dalam ucapannya, Mohd Yusuf berkata semangat perpaduan di antara pelbagai kaum amat penting diterapkan dalam kalangan murid sekolah sejak di peringkat awal bagi melahirkan persefahaman dan sikap toleransi di antara mereka.

Selain itu, melalui program ini juga akan dapat mewujudkan sikap bekerjasama, tolong-menolong seterusnya akan mewujudkan suasana muhibbah secara sedar dan terancang sesama peserta.

Katanya lagi, usaha murni ini merupakan platform baik bagi mengukuhkan lagi semangat kekitaan dalam kalangan warga negara dan selaras dengan konsep 1Malaysia yang menekankan aspek perpaduan kaum. Jesteru, program seumpama ini hendaklah diteruskan atau dipraktikkan oleh murid apabila berada dalam kelompok masyarakat sebenar.

Sementara itu, Nur Nabihah Ruzzlan,12, berkata pengalaman mengikuti program ini amat seronaok kerana dapat ramai kenalan baru daripada pelbagai kaum dan dapat merealisasikan matlamat 1Malaysia.

Seorang wakil SJK (T) Batag Melaka, K. Vishwa, 12, pula berkata terdapat pelbagai aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain dan mempelajari budaya pelbagai kaum.

Liaw Boon Jian, 12, berkata aktiviti yang dijalankan sangat seronok dan dapat membentuk sikap berdikari.

Turut hadir ialah Pegawai Pelajaran Daerah Jasin,(PPD), Yusuf Ahmad, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SJK(C) Kiow Nam, Pong Lum Soon, Guru Besar SJK(T) Batang Melaka, Pn. C. Sarojini, GPK Hal Ehwal Murid (HEM) SJK(C) Kiow Nam, Low Chai Liyin, Pengerusi JKKK Batang Melaka, Sidang Hasan Maadah, Pengerusi Belia 4B Cawangan Batang Melaka, Sharif Subuh, wakil MCA dan MIC serta para ibu bapa.

No comments:

Post a Comment