05 December 2009

SK Datuk Haji Baginda Juara Pertandingan Bercerita



Sekolah Kebangsaan Datuk Haji Baginda, Umbai Melaka dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Bercerita Bahasa Melayu Sekolah Rendah sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) peringkat negeri Melaka 2009 yang diadakan di Dewan Alamanda, Majlis Perbandaran Jasin, dekat sini baru-baru ini.

Pertandingan diadakan bertujuan memupuk dan menggerakkan para pelajar sekolah rendah menguasai dan menghargai bahasa kebangsaan bagi menggalakkan para pelajar membaca seterusnya menghayati karya kreatif dan dengan niat untuk menyuburkan perasaan cinta dan sayang terhadap Bahasa Melayu.

Kejayaan itu melayakkan Anis Atiqah Bt Jasmani, SK Datuk Haji Baginda membawa hadiah wang tunai berjumlah RM200, buku dan sijil, manakala naib juara dimenangi Abdul Rasyid Bin Abdul Razak, Sekolah Kebangsaan Telok Mas yang menerima hadiah RM150, buku beserta sijil. Tempat ketiga pula dimenangi Siti Nur Aqilah Bte Sanadi, Sekolah Sacred Heart yang menerima RM100, buku beserta sijil.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh YB Datuk Haji Ab. Wahab Bin Ab. Latip, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Sains & Teknologi da Sumber Manusia.

Ab. Wahab dalam ucapannya pada majlis itu melahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah dan syabas kepada para peserta yang memiliki kebolehan dan keberanian untuk membuat persembahan di khalayak ramai sejak di usia muda lagi.

Beliau berkata, penguasaan pelbagai bahasa amat penting sebagai nilai tambah kepada kualiti diri seseorang murid.

Selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan YAB Perdana Menteri kita, bahasa Melayu sebenarnya merupakan alat yang paling berkesan untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini. Oleh itu kita sepatutnya mengamalkannya sepanjang masa semasa berkomunikasi antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment