05 December 2009
SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK DAN JAMUAN AIDIL FITRI SK PARIT MELANA 2009
Baru-baru ini bertempat di kantin Bestari SK Parit Melana telah diadakan sambutan Hari Kanak-kanak peringkat sekolah sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia dan jamuan mesra Aidil Fitri untuk warga sekolah.
Program tahunan ini bertujuan untuk meraikan murid sekolah berkenaan sempena Hari Kanak-kanak di samping mengadakan jamuan bagi mengeratkan hubungan antara guru, murid dan warga sekolah.
Pelbagai program diatur sepanjang program sehari iaitu pertandingan ‘Bintang Kecil 1Malaysia, SKPM 2009’ yang merupakan acara kemuncak bertujuan mencungkil bakat terpendam pelajar diikuti jamuan Hari Raya Aidil Fitri untuk warga sekolah.
Menurut En. Mustaffa Mohamad, Ketua Panitia Muzik merangkap Pengerusi pertandingan, pada tahun ini seramai 36 orang murid telah mengikuti uji bakat dan hanya 12 orang yang berjaya terpilih ke peringkat akhir untuk membuat persembahan . Acara pada tahun ini menampilkan bakat baru iaitu adik Faizudin Jefri, 9, yang menyanyikan lagu 60-an.
’Tahniah dan syabas kepada para pemenang kerana telah menunjukkan bakat masing-masing dalam pertandingan pada tahun ini dan berharap dapat melakukan yang terbaik pada masa akan datang”, katanya kepada Berita Harian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.
Para tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah tradisional seperti lemang, ketupat, rendang, dan kuih seri muka. Di samping itu, turut dihidangkan juadah yang disediakan sendiri oleh guru-guru seperti nasi minyak, bihun dan pelbagai kuih-muih moden.
Adik Nasyatun Najiha bt Mustaffa, 12, muncul johan pertandingan dan diikuti masing-masing tempat kedua oleh adik Faizuddin bin Jefri, 9, dan ketiga adik Fildza Afif bin Mustaffa, 11.
Hadiah-hadiah berupa wang tunai dan hamper kepada para pemenang telah disempurnakan oleh GPK Kurikulum, Pn. Kamisah Bt Abdullah.
Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, En. Adam bin Mohamad.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment