05 December 2009

KARNIVAL CERGAS DAN CERDAS PENDIDIKAN PRASEKOLAH KAWASAN ALOR GAJAH TAHUN 2009



Alor Gajah: SK Simpang Empat muncul johan keseluruhan dalam acara sukaneka, acara ‘Mekanik Cilik’ dan ‘Gelung Guni’ dalam program Karnival Cergas Cerdas anjuran Jabatan Pelajaran Melaka dan Pejabat Pelajaran Daerah Alor Gajah.

SK Simpang Empat juga johan dalam acara olahraga iaitu 50 meter lelaki dan 25 meter berganti-ganti lelaki. Manakala dalam acara 50 meter perempuan pula hanya memperoleh tempat ketiga.

Dalam karnival ini, sebanyak 31 buah sekolah di daerah Alor Gajah telah menyertai program yang diadakan setiap tahun bertujuan meningkatkan penguasaan motor halus dan kekuatan fizikal murid dalam aktiviti-aktiviti fizikal, selain dapat memupuk semangat setiakawan dan kerjasama semasa menjalankan aktiviti seterusnya untuk membina semangat yakin diri dalam diri murid.

Kira-kira 250 orang terdiri guru-guru prasekolah, ibu bapa, pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah dan penduduk setempat menghadiri karnival yang berlangsung di di padang SK Belimbing Dalam, Durian Tunggal baru-baru ini.

Pelbagai acara telah dipertandingkan iaitu lari 50 meter, lari 4 x 25 meter, ‘Mekanik Cilik’, ‘Big Foot’, ‘Bom Air’, ‘Upih dan Ipin’, ‘Gelung Guni’ dan ‘Anak Ketam Makan Aiskrim’.

Turut diadakan adalah acara perbarisan Lintas Hormat oleh murid-murid yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh wakil Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Alor Gajah, En Zahiran Bin Yahya.

Dalam ucapannya beliau menyatakan rasa bangga dan gembira dengan penganjuran karnival pada kali ini. Harapan beliau agar penglibatan murid yang aktif dalam program ini dapat menyuburkan potensi diri mereka pada masa hadapan.

“ Terima kasih kepada semua yang terlibat kerana telah memberi komitmen dan kerjasama yang tinggi untuk melancarkan perjalanan program ini” katanya kepada Berita Harian.

Pn. Norpidah bt Idris, 37, berkata program seumpama ini amat bagus kerana dapat memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai sukan dan dapat memupuk mereka mengamalkan gaya hidup sihat apabila besar nanti.

Pn. Hanisah Bt Hamid, berkata beliau sungguh gembira dan bangga dengan kebolehan yang ditunjukkan oleh anak didiknya sehingga berjaya muncul johan keseluruhan acara sukaneka dan olahraga sekaligus mengharumkan nama sekolah.

“Saya berharap bakat mereka akan dikembangkan lagi apabila mula bersekolah pada tahun hadapan.Semoga mereka akan lebih berjaya lagi pada masa akan datang” katanya.

No comments:

Post a Comment