04 May 2009

RAHSIA KAMPUNG LAMA
OLEH: SHAHIR A. RAZAK

Aziz dan Ramli merupakan dua orang pelajar Universiti Malaya di Kuala Lumpur. Seperti tahun-tahun sebelumnya, mereka akan pulang ke kampung Aziz untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kerana kedua-dua ibu bapa Ramli sudah tiada lagi, ia telah menjadi kebiasaannya untuk mengikut Aziz pulang ketika Aidilfitri. Mereka pulang tahun ini bersama kereta sewa mereka. Mereka memandu kereta sewa mereka melalui jalan lama yang gelap. Destinasi mereka ialah Johor Bahru, Johor. Mereka sepatutnya menaiki bas ke sana, tetapi kerana kealpaan Ramli, mereka terlepas peluang untuk membeli tiket bas yang terakhir dijual sedangkan Aidilfitri tinggal dua hari lagi. Mereka terpaksa menyewa kereta walaupun harganya berlipat kali ganda lebih mahal dari tiket bas. Akan tetapi, sayang Aziz terhadap kedua orang tuanya tidak boleh diduga. Mereka tetap menyewa kereta itu. Untuk menjimatkan wang, mereka pulang melalui jalan lama, bukan Lebuhraya Utara-Selatan yang dilalui bas. Mereka bertolak malam raya.

Azan Maghrib bergema sebaik sahaja mereka memandu melepasi Kampung Pandan. Mereka masih boleh mendengar azan berkumandang di masjid-masjid dan surau-surau. Mereka melepaskan peluang untuk bersolat di Kampung Pandan dan bercadang untuk mendirikan jamak takh’ir apabila tiba di destinasi nanti.

Azan Isyak berkumandang di radio dan telefon bimbit Ramli. Dia telah memuat turun sebuah aplikasi yang memberitahunya waktu-waktu solat. Aziz berubah hati mendengar gema azan tersebut. Dia segera menyatakan hasratnya untuk mengubah rancangan mereka. Dia tidak mahu melambat-lambatkan solat. Ramli setuju dan membuat keputusan untuk berhenti di kampung seterusnya dan menunaikan solat Isyak dan menjamakkan Maghrib di situ.

Mereka tiba di sebuah kampung sepuluh minit kemudian. Kampung itu bernama Kampung Lama. Kampung itu sunyi sepi, seperti tiada yang menghuninya. Namun kampung itu terang dengan lampu dan kedengaran takbir raya di surau berdekatan mereka. Aziz masuk ke perkarangan surau itu dan memparkir keretanya berdekatan. Setelah mengambil wudhuk, mereka masuk namun tiada seorang pun jemaah kelihatan. Yang kelihatan adalah bilal yang sedang menyahutkan takbir raya. Namun apabila Aziz dan Ramli masuk, dia sudah bersedia untuk keluar.

“Berhati-hati di tempat ni, nak,” kata bilal itu memegang bahu Ramli apabila laluan mereka bertembung, “tempat ni keras.” Bilal itu keluar dari surau dan hilang di dalam kegelapan malam. Ramli mula berasa bulu romanya tegak. Aziz memberi kata-kata keyakinan bahawa tiada apa yang akan berlaku. Ramli segera berasa lega semula dan mereka menunaikan solat, Aziz sebagai imam dan Ramli sebagai makmum.

Setelah selesai bersolat, mereka keluar dari surau membiarkan surau itu terbuka dan kosong. Mereka berjalan laju ke kereta sewa mereka kerana teringat akan kata-kata bilal surau tadi. Akhirnya mereka tiba di kereta.

Aziz memandang belakang untuk melihat keadaan Ramli. Ramli sudah tiada di belakangnya. “Ramli!” Jerit Aziz mana tahu jika Ramli berada berdekatan. Tiada jawapan. Dia pergi ke surau itu semula. Dia telah memparkir keretanya agak jauh dari surau kerana yang mengelilingi surau itu hanyalah pohon-pohon dan surau itu tiada tempat memparkir kereta. Apabila Aziz tiba di surau itu, ia sudah tiada di situ.

* * *

“Aziz! Aziz! Aziz!” Jerit Ramli ketakutan. Dia mula panik. Dia mana Aziz? Mindanya memberi reaksi terhadap situasi terkini. Dia cuba untuk memikirkan penjelasan yang logik. Tidak berjaya. Dia berlari ketakutan menuju ke destinasi yang dia sendiri tidak tahu. Tiba-tiba, seorang lelaki muda menahan Ramli yang kelihatan seperti mahu menangis.

“Abang nak pergi mana?” Tanya lelaki muda itu dengan hormat kerana Ramli kelihatan lebih tua daripadanya.

“Abang dah sesat dari kawan abang. Ada nampak dia tak? Dia ada pakai baju merah dengan seluar jeans biru.” Jawab Ramli yang semakin lega kerana berjumpa dengan seseorang dan bukannya keseorangan lagi.

“Saya rasa saya ada nampak di surau sana, lalu jalan ni.” Lelaki itu menunjuk ke arah sebuah jalan lereng yang tinggi. “Nak saya tunjukkan jalan?”

Ramli bersetuju. Mereka segera berjalan menaiki lereng itu didahului oleh lelaki itu. “Dekat surau sana tu.” Lelaki itu berkata apabila tiba di atas lereng itu. Ramli berjalan di depannya namun tiada surau kelihatan. Apa yang dilihat ialah sebuah gaung yang dalam dan jauh berlanjutan dipenuhi dengan api. Lava, Ramli fikir masih lagi boleh berfikir logik untuk menenangkan ketakutanya yang semakin meninggi. Tiba-tiba, lelaki itu menolak Ramli ke dalam gaung berapi itu sambil ketawa seperti orang gila.

* * *

Surau itu sudah tiada di situ lagi. Aziz berasa pelik dan dia dapat merasakan bulu romanya naik. Belum sempat dia berfikir penjelasan yang logik bagi kehilangan surau itu, seorang wanita tua memanggil dari rumah-rumah berdekatan. Wanita tua itu sedang memegang beberapa galas beg. Aziz segera berjalan ke arah wanita tua itu.

“Nenek nak apa?” Tanya Aziz, bersedia untuk membuat apa saja demi mengurangkan beban orang tua itu.

“Nenek ada banyak beg ni,” nenek itu berkata- kata, “tapi nenek tak larat nak angkat naik tangga rumah nenek. Boleh tolong tak, nak?” Nenek itu mahu pertolongan sahaja. Aziz tidak menolak. Dia berasa hiba jika orang tua ini ialah ibu bapanya. Bagaimana perasaannya jika seorang muda tidak menolong ibu bapanya yang berada dalam kesusahan seperti nenek ini?

Dia segera mengangkat beg yang ada empat jumlahnya. Dia menaiki tangga yang menuju ke pintu depan rumah nenek itu yang sudah terbuka. Dia masuk dan menjerit tiba-tiba. Di dalam rumah orang tua itu, terdapat berpuluh-puluh, mungkin lebih, manusia yang hitam legam dan tiada muka. Mereka berjalan menghampiri Aziz dan meraung, “Selamatkan kami!”. Aziz tidak membuang masa dan terus lari dari situ. Di dalam perjalanan keluar, Aziz menyedari bahawa nenek itu telah hilang.

* * *

Ramli terbangun dari tidurnya dengan sentakan yang kurang menyenangkan. Rupanya itu semua hanya mimpi. Dia memandang persekitaranya. Dia masih berada di Kampung Lama berdasarkan flora di sekelilingnya. Ini tidak menyenangkannya. Di bangun dan berjalan perlahan. Dia masih terasa kepenatan tidurnya. Dia terdengar satu suara. “Selamatkan kami!” suara itu menraung. Dia pusing belakang. Terdapat berpuluh-puluh manusia tanpa muka dan kulit hitam legam, seperti terbakar mengejarnya. Mereka terbang dan tidak mempunyai kaki. Ramli yang pada zahirnya penakut lari langkah seribu apabila ternampak lembaga-lembaga itu.

Dia lari ke arah yang dia tidak tahu hala tujunya. Lembaga-lembaga itu masih mengekori. Dia berlari ketakutan, tidak tercungap walau sekalipun. Mungin naluri bagi seorang penakut jika berjumpa hantu, mereka akan mendapat kekuatan yang mereka sendiri tidak tahu wujud dalam diri mereka. Dia berlari dalam keadaan begitu sehingga dia ternampak Aziz berlari dari satu arah yang berlainan denganya.

* * *

Aziz berlari sepantas yang mungkin. Lembaga-lembaga yang dia lihat sebelum ini mengejarnya. Mereka terbang, bukannya berlari menggunakan kaki seperti di dalam rumah orang tua tadi. Aziz membaca segala surah yang dia tahu ketika berlari. Masih tidak berkesan. Dia segera mendoakan bahawa sesuatu yang baik akan segera menimpanya. Lembaga-lembaga yang mengejarnya masih menjerit, “Selamatkan kami!”

Dia berlari sehingga satu lembaga dapat mengejarnya. Namun, lembaga itu bukan seperti yang sebelumnya. Ia adalah bilal yang dia nampak di surau. Ia terbang dengan laju bersebelahan Aziz. Aziz tahu ia sedang cuba berkomunikasi dengannya.

“Masuk ke dalam hutan sebelah kanan ini.” Kata bilal itu.

Aziz menurut. Dia masuk dan meredah pokok dan segala semak-samun, tidak langsung ke kiri atau kanan, cuma berlari lurus ke hadapan. Akhirnya dia tiba di sebelah hutan itu, dan ada sebatang jalan yang terpisah dua. Dia bertanyakan bilal itu arah mana, kiri atau kanan patut dilalu, namun dia sudah hilang. Dia mengambil keputusan untuk ke kiri. Dia meneruskan larianya sehingga dia berharap dapat dijumpai seseorang. Lembaga-lembaga itu masih mengejar. Tiba-tiba dia ternampak Ramli. Ramli juga nampak akan dirinya. Mereka sedar mereka dikejar oleh benda yang sama. Mereka berlari satu arah dan akhirnya nampak kereta mereka di depan.

Mereka terasa seperti seperti baru bangun dari tidur, namun mereka tahu ia semuanya benar. Sebaik sahaja mereka menyentuh kereta sewa mereka, tiada lagi jeritan kedengaran. Sunyi sepi menjadi latar bunyi. Mereka pusing belakang dan pandangan mereka bukanlah Kampung Lama seperti yang mereka nampak pada pertama kali mereka tiba. Mereka hanya nampak rumah-rumah terbakar dan mayat-mayat hitam, sama seperti lembaga-lembaga yang mengejar mereka bertaburan di tanah. Mereka menarik nafas panjang, kepenatan setelah segala larian yang telah mereka lakukan.

Setelah berasa lega dan tidak tercungap-cungap, Ramli memberi cadangan kepada Aziz untuk menelefon polis. “Kau tak tahu ke kenapa semua benda ini terjadi Aziz?” Aziz menggeleng kepalanya. “Kau nampak tak kampung ini dah terbakar dan mayat-mayat kat sini tak hilang lagi? Ini maksudnya mayat-mayat ini tak dijumpai polis lagi dan mereka tak dikebumikan lagi.”

“Habis tu? Kenapa pulak?” tanya Aziz berasa pelik dengan kata-kata Ramli.

“Kau tak tengok TV ke? Mayat-mayat ni nak dikebumikan lah. Sebab itulah mereka meminta pertolongan kita untuk telefon polis dan minta mereka dikebumikan. Berdasarkan kampung ini, nampak sangat tak ada orang terselamat.” Ramli menjelaskan kesimpulannya kepada Aziz.

Aziz tercengang mendengar penjelasan Ramli. Ada benarnya dengan kata-kata Ramli. Mayat-mayat ini masih ada di sini bermaksud pihak polis tidak menjumpai mereka lagi dan tiada siapa yang tahu bahawa Kampung Lama telah terbakar. Aziz terkejut dengan penjelasan yang agak logik dari Ramli. Dia tidak dapat fikir apa-apa pun dalam keadaan mereka. Mungkin hanya Ramli seorang saja yang boleh buat begitu. Aziz segera menelefon polis. Di dalam hati Aziz, dia ada terfikir bahawa mungkin Hantu Raya di sebalik segala yang berlaku, namun tidak memberitahu Ramli kerana dia tahu itu sudah tentu tidak benar.

Pihak polis tiba setengah jam kemudian. Mereka telah tiba dengan beberapa buah lori mayat setelah mendengar penjelasan Aziz apabila Aziz menelefon mereka. Seorang pegawai mengucapkan terima kasih kepada Aziz dan Ramli di Kampung Lama dan telah memberi penjelasan tentang Kampung Lama, sama seperti apa yang Ramli telah kata. Tiada seorang pun yang terselamat dalam kebakaran di Kampung Lama dan pihak polis juga tidak tahu tentang kebakaran itu. Aziz dan Ramli memandang sesama sendiri selepas kata-kata pegawai polis itu. Jadi memang benar kata-kata Ramli, orang Kampung Lama mahu diselamatkan. Bilal yang mereka nampak juga mungkin salah seorang orang Kampung Lama. Pegawai polis itu bertanya sama ada Aziz dan Ramli mahu dihantar ke destinasi mereka kerana tayar kereta sewa mereka telah pancit. Mereka tidak menyedari fakta itu. Mungkin itu adalah punca mereka telah berhenti di Kampung Lama, kerana tayar mereka telah pancit, bukan kerana Aziz berhenti. Roh-roh yang mereka lihat itu telah mengawal segala pandangan mereka sebaik sahaja mereka keluar dari kereta. Aziz dan Ramli bersetuju untuk berhenti berfikir tentang apa yang telah berlaku kepada mereka. Semuanya terlalu rumit dan memeningkan untuk difikirkan. Mereka bersetuju dengan tawaran pegawai polis itu dan mereka di hantar ke Johor Bahru yang kira-kira 50 km jaraknya dari Kampung Lama. Mereka bersetuju bahawa ini merupakan satu pengalaman yang tidak akan mereka lupakan dan sepastinya akan diceritakan kepada orang kampung di Aidilfitri nanti.

TAMAT

1 comment:

  1. cikgu,ni syuhada dr drjh 6 bestari..cikgu,saya rasa karangan ni mesti dia ambik dr buku cerita.

    ReplyDelete