16 April 2009

Murid dan guru rumah Hang Jebat meraikan kejayaan menjuarai kejohanan pada tahun ini.

RUMAH HANG JEBAT JUARA KESELURUHAN

KEJOHANAN SUKAN SK PARIT MELANA 2009

KALI KE - 57

oleh: Cikgu Razman Mohammad

Baru-baru ini SK Parit Melana telah menganjurkan Kejohanan Sukan Tahunan kali ke- 57 bertempat di padang sekolah. Kejohanan pada tahun ini dirasmikan oleh En. Adam Mohamad, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Dalam ucapannya beliau menyeru kepada murid-murid agar mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik dan juga kokurikulum. Beliau juga menyarankan agar ibu bapa memberikan sokongan kepada pihak sekolah dalam usaha menjayakan agenda membentuk modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Kejohanan pada tahun ini menyaksikan rumah Biru (Hang Jebat) di bawah bimbingan guru penasihat En. Nor Afandi Safar muncul juara keseluruhan menewaskan rumah sukan yang lain. Pelbagai acara dipertandingkan dalam kejohanan tahun ini seperti 75m, 100m, 200m, 4 x 100m, lompat jauh, lompat tinggi, lontar peluru dan lempar cakera. Larian merentas desa yang diadakan sebelum kejohanan ini menyaksikan adik Nor Adilah bt Md Isa dari rumah biru muncul juara bagi kategori perempuan manakala adik Nur menjuarai kategori lelaki.

Olahragawan pada tahun ini milik adik Nur Muhamad Bin Basri yang berjaya memungut 4 pingat emas dalam acara 100m, 200m, 4 x 100, lompat tinggi. Beliau juga terpilih mewakili sekolah ke sukan MSSM peringkat kawasan Alor Gajah dan berjaya mendapat 3 pingat perak dalam acara 200m, 4 x 100m dan lompat tinggi. Adik Nur Muhammad juga terpilih mewakili daerah Alor Gajah ke peringkat negeri dalam acara lompat tinggi dan 200m.

Olahragawati dimiliki oleh adik Nor Anisah Bt Md Isa yang berjaya menggondol 3 emas dalam acara merentas desa, 100m, 200m dan 2 perak dalam acara 4 x 100m dan lompat jauh. Beliau juga terpilih mewakili sekolah dalam acara merentas desa peringkat daerah Alor Gajah.

Pengurus kejohanan merangkap setiausaha sukan, En. Mustaffa Mohammad berpuas hati dengan penganjuran pada tahun ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakan kejohanan ini. Katanya lagi, pada tahun ini murid-murid yang mengambil bahagian menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

No comments:

Post a Comment