16 April 2009




DEKLAMASI SAJAK

KELOLAAN SK PARIT MELANA

BERJAYA CUNGKIL BAKAT

Oleh: Cikgu Razman Mohammad

Baru-baru ini SK Parit Melana berjaya mengelolakan pertandingan Deklamasi Sajak Sekolah-sekolah Rendah Negeri Melaka Peringkat Kawasan Alor Gajah 2009. Sebanyak 19 buah sekolah kebangsaan dan 2 buah sekolah Jenis Kebangsaan iaitu SJK(C) San Yuh dan SJK(T) Alor Gajah telah mengambil bahagian menjayakan pertandingan ini.

Antara matlamat penganjuran pertandingan adalah untuk melahirkan penyajak yang mampu diketengahkan di peringkat negeri mahupun kebangsaan di samping dapat menanam semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda kini.

Dalam pertandingan ini, adik Izyan Aina Bt Kasbullah dari SK Durian Tunggal muncul juara manakala tempat kedua milik adik Nor Dalila Bt Mohd Taib dari SK Dato’ Naning. Tempat ketiga pula milik adik Anis Masyitah bt Mohammad Asri dari SK Parit Melana.

Adik Izyan Aina, anak didik Cikgu Nora Bt Ibrahim telah terpilih mewakili daerah Alor Gajah ke pertandingan deklamasi sajak peringkat negeri Melaka April ini. Adik Izyan Aina pernah menjuarai pertandingan Sajak Anti Dadah peringkat daerah Alor Gajah pada tahun 2008 dan mendapat tempat ketiga bagi peringkat negeri Melaka.

“Saya bersyukur atas kejayaan ini dan akan cuba lakukan yang terbaik pada pertandingan sajak peringkat negeri Melaka nanti” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup pertandingan.

Wakil Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Alor Gajah, Tn. Hj. Zahiran Bin Hj. Yahya telah menyempurnakan majlis penutupan pertandingan dan sudi menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan.

1 comment:

  1. salam..tahniah abg man. makin advance update blog skang. kite brjumpa d laman cyber je la ek. hehe...

    ReplyDelete