15 April 2009



PERKHEMAHAN UNIT BERUNIFORM

SK PARIT MELANA 2009

BERJAYA SEMAI SEMANGAT JATI DIRI

Oleh: Cikgu Razman Mohammad

Baru-baru ini Unit Kokurikulum SK Parit Melana telah mengadakan Perkhemahan Unit Beruniform peringkat sekolah. Acara tahunan ini diadakan bermula 27 hingga 29 Mac 2009 bertempat di padang sekolah. Seramai 120 orang pelajar terdiri daripada unit beruniform seperti Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS), Pengakap, Puteri Islam dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) menyertai perkhemahan ini.

Menurut Penyelaras Program merangkap Kem Komandan Cikgu Mohd Rahdi Hj. Ahmad, perkhemahan tahunan ini diadakan bertujuan melahirkan semangat jati diri yang tinggi dalam kalangan peserta di samping dapat memupuk nilai-nilai terpuji seperti kerjasama dalam satu pasukan, sikap berdikari dan juga dapat memupuk sikap menghayati dan mencintai alam sekitar.

Puan Safiah Sharif selaku Guru Besar telah sudi melakukan pemeriksaan barisan peserta-peserta unit beruniform pada hari pertama perkhemahan diadakan.

Pelbagai aktiviti dan yang telah diadakan sepanjang perkhemahan, seperti ‘Strategi Mesra’, Kuliah Agama, Masakan Rimba, Tali-Temali (ikatan), Demontrasi Pertolongan Cemas, ‘Blind Trail’. Turut dijalankan ialah pertandingan Kawad Kaki, Larian Komando, Kecerian Khemah, Masakan, dan Malam Kebudayaan.

Dalam pertandingan yang diadakan, pasukan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) dibawah bimbingan Cikgu Razman Mohammad telah muncul johan dalam acara Kawad Kaki dan Malam Kebudayaan. Pasukan Pengakap yang diterajui oleh Cikgu Nor Izhan Ishak pula menjuarai acara Larian Komando dan Keceriaan Khemah manakala Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dibawah pimpinan Cikgu Suhailah Mamat pula muncul juara dalam acara Masakan. Perkhemahan pada tahun ini juga turut menganugerah Tokoh Unit Beruniform kepada Adik Mohamad Khairil bin Samsudin daripada TKRS dan Adik Nurul Nadhirah Bt Hairizal. Hadiah-hadaiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Puan Hajah Norlia Bt Abd Kudus GPK Kokurikulum.

Menurut Nasyatun Najiha Mustaffa murid tahun 6, program ini sangat menarik dan memberi banyak manfaat kepada dirinya. Menurutnya lagi, aktiviti ‘Blind Trail’ adalah aktiviti yang paling digemarinya kerana dapat menguji keberanian dan kerjasama dalam satu pasukan.

Adik Mohamad Khairil Samsudin murid tahun 6 pula berpendapat aktiviti Malam Kebudayaan sungguh menyeronokkan kerana para peserta dapat mencungkil bakat masing-masing dan mempelajari teknik lakonan yang berkesan.

Adik Munir Nafis Bin Nordin murid tahun 4, ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada guru-guru yang banyak memberikan ilmu mengenai kehidupan ketika di dalam hutan dan bantuan pertolongan cemas. Kami semua berharap agar perkhemahan ini diadakan lagi pada tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment