15 April 2009

Kisah tiga sahabat menyelamatkan seorang murid.

Hasil karya…

Nurul Syahidah Sanipansuri

SK Alor Gajah 1

April 2009

……………………………………………………………….

Dalam hidup ini terdapat banyak peristiwa yang sukar dilupakan. Adakalanya akan meninggalkan kesan yang pahit. Pada masa itu, aku berusia 10 tahun. Aku belajar dalam darjah 4 Progresif. Sewaktu loceng berbunyi menandakan waktu rehat, aku bersama dua orang rakanku yang bernama Wani dan Hanisah bergegas menuju ke kantin sekolah untuk mengisi perut yang lapar.

Semasa kami menuruni tang, ramai murid berlari-larian dan bertolak-tolakan. Kami menasihati mereka yang bertolak-tolakan agar tidak mengalami sebarang kemalangan akibat terjatuh. Malangnya, nasihat kami itu tidak diendahkan langsung.

Sepanjang perjalanan ke kantin, kami bertiga asyik berbual-bual tentang cerita ‘Geng Bas Sekolah’ yang disiarkan di televisyen semalam. Tiba-tiba kami terdengar seseorang menjerit kesakitan. Kami pun pergi kea rah bunyi tersebut. Aku sangat terkejut kerana budak yang kami nasihati di tangga terjatuh di dalam longkang. Dia menangis teresak-esak. Kaki kirinya patah manakala kelapanya tidak henti-henti mengalirkan darah yang banyak. Aku terpaku melihat kejadian itu. Aku terus memberikan bantuan kecemasan kepada budak tersebut kerana aku sudah ada pengalaman sewaktu menyertai pasukan beruniform PBSM.

Kami membantunya dengan berhati-hati kerana tidak mahu dia mengalami kesakitan. Aku menyuruh Wani memberitahu guru penasihat PBSM, Cikgu Nik Noor Aleeya untuk menolong budak itu. Kami menceritakan segala kejadian yang berlaku pada budak itu. Cikgu Nik menyuruh budak itu duduk di atas kerusi yang terdapat di dalam bilik Cikgu Nik. Aku dan rakanku menenangkan budak itu. Cikgu menasihati budak itu agar tidak mengulanginya lagi. Budak itu pun berhenti menangis. Selepas budak itu berhenti menangis, aku memapahnya dengan berhati-hati sekali. Aku memapahnya setapak demi setapak ke bilik rawatan. Hanisah memasang kipas manakala Wani pula mengambil peti kecemasan yang berada di atas almari menggunakan kerusi. Aku segera mencapai peti kecemasan yang diambil oleh Wani lalu membukanya. Di dalamnya terdapat pelbagai jenis alatan yang terdiri daripada minyak gamat, kapas, pembalut luka, krim luka dan ubat-ubatan. Aku mengambil kapas lalu membersihkan luka pada kepalanya dan membuat anduh pada kakinya. Cikgu Nik memberi budak itu minum air suam. Budak itu minum air suam sambil kepalanya diusap lembut. Budak itu berasa amat terharu.

Cikgu Nik menyuruh aku untuk menelefon Cikgu Ayu untuk menghantar budak tersebut ke hospital yang berdekatan. Aku menggunakan telefon yang berada di dalam bilik itu dengan kebenaran Cikgu Nik. Belum sempat aku meletakkan gagang telefon, Cikgu Ayu pun sampai kerana kebetulan beliau berada di bilik guru yang berdekatan dengan bilik rawatan. Cikgu Ayu menanyakan beberapa soalan kepada aku. Aku menceritakan segala-galanya tentang kejadian itu kepada Cikgu Ayu. Cikgu memuji kami kerana pantas bertindak. Selepas budak itu mendapat rawatan, kami bertiga membantu budak itu untuk masuk ke dalam kereta Proton Wira kepunyaan Cikgu Ayu untuk ke hospital. Kami dikehendaki untuk ikut sama. Budak tersebut mengerang kesakitan. Kami menyuruhnya bersabar kerana hospital tidak jauh lagi. Kami berasa khuatir tentang kejadian yang menimpa budak itu.

Apabila tiba di hospital, budak itu dibawa masuk ke dalam bilik rawatan. Budak itu menaiki kerusi roda untuk dibawa ke bilik rawatan yang dibantu oleh dua orang jururawat. Kami dan Cikgu Ayu menunggu budak itu di luar bilik rawatan. Cikgu Ayu mundar-mandir dan berserah kepada Illahi. Cikgu Ayu menyuruh aku menelefon ibu bapa budak itu menggunakan nombor yang diberi oleh cikgu. Setengah jam kemudian, ibu bapa kepada budak itu pun sampai. Ibu budak itu kelihatan cemas sekali. Cikgu Ayu menceritakan dan menjelaskan apa yang berlaku. Ibu budak itu merupakan jiranku. Dia seorang ibu yang penyayang. Ibu bapa budak itu mengucapkan terima kasih kepada kami kerana bertindak pantas dengan memberi bantuan kecemasan awal. Kami berbangga kerana dapat menolong orang, lebih-lebih lagi itu jiranku.

Sedang kami menunggu, seorang doktor dan jururawat keluar dari bilik rawatan. Doktor itu berjumpa dengan ibu bapa mangsa tentang anaknya yang dimasukkan ke wad. Ibu bapa mangsa bersalaman untuk pulang dan berterima kasih atas kerjasama yang diberikan. Keesokan harinya, aku Wani dan Hanisah menceritakan pengalaman kami kepada guru kelas dan rakan. Mereka memuji tindakan kami sambil memberi tepukan yang gemuruh. Kai bersyukur dan berbangga kerana dapat menolong orang yang memerlukan bantuan. Orang tua-tua berpesan, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Kami berharap agar dapat menolong lagi orang yang memerlukan bantuan. Itulah pengalaman yang tidak dapat aku lupakan sehingga kini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment