09 April 2009

PENGALAMAN YANG SUKAR DILUPAKAN

PENGALAMAN YANG SUKAR DILUPAKAN

Oleh: Afiq Farhan Abdul Rahim

SK Parit Melana
2007

Aku, Asmah, Syafiq, Azwan dan Zamri merupakan kawan baik. Sungguhpun Asmah seorang perempuan, namun dia dapat menyesuaikan dirinya dengan kawan lelaki yang lain. Syafiq pula seorang budak lelaki yang baru berpindah ke Kampung Raja manakala Azwan dan Zamri ialah kembar yang tidak seiras. Kami berlima sukakan aktiviti pengembaraan dan selalu pergi berkhemah di dalam hutan sekitar Malaysia terutamanya pada hujung minggu. Pada cuti penggal yang lalu, kami pergi berkhemah di Taman Negara Endau-Rompin yang terletak di sempadan negeri Pahang dan Johor.

Setelah memeriksa segala barang dan keperluan asas perkhemahan, kami berlima terus menaiki van dan pergi ke destinasi yang dituju. Sepanjang perjalanan, kami dapat melihat pelbagai panorama indah seperti Gunung Ledang dan hutan belantara dengan pelbagai spesis flora dan fauna yang hidup di dalamnya. Setelah tiba di pintu masuk Taman Negara itu, kami mengucapkan terima kasih kepada pemandu van dan terus melaporkan diri kepada renjer hutan yang bertugas di situ. Kami perlu melaporkan diri terlebih dahulu agar keselamatan mereka terjamin.

Kami memulakan perjalanan setelah dua jam berada di dalam van. Syafiq memegang kompas dan peta serta berjalan di hadapan kerana dia adalah orang yang paling berpengalaman di antara kami berempat. Semak-samun dan hutan belantara telah kami lalui walaupun kesukarannya amatlah dirasai. Di antara kami berempat, Asmah nampak paling penat ketika itu. Namun, dia tetap tabah kerana dia tidak mahu diejek oleh kawan-kawannya. Tiba-tiba saja Syafiq berhenti dan kelihatan resah. Aku pun bertanya kepada Syafiq kenapa jadi begitu. Setelah dia menerangkannya, semua orang duduk dan kelihatan begitu resah. Rupa-rupanya kompas Syafiq rosak dan barulah kami tersedar bahawa kami telah tersesat di tengah-tengah hutan belantara.

Memandangkan kami telah tersesat, kami nekad untuk mencari jalan keluar. Aku selaku ketua kumpulan pun segera mengadakan mesyuarat pada malam itu untuk mencari jalan keluar. Setelah mencapai kata putus, kami terpaksa bermalam di dalam hutan dan terus memasang khemah dan tidur di situ walaupun dalam keadaan takut.

Pada keesokan hari, aku, Azwan, Zamri dan Syafiq bangun awal tetapi Asmah masih tidur. Pagi itu, kami terpaksa makan sedikit sahaja untuk berjimat memandangkan kami telah tersesat. Wajah Azwan dan Zamri nampak muram tetapi Syafiq kelihatan tenang. Aku cuba membuat lawak. Akhirnya, Azwan dan Zamri kembali ceria. Aku menjelaskan kepada mereka bahawa perasaan muram akan menyebabkan masalah menjadi lebih kusut. Aku terus memberi sedikit nasihat dan kata-kata semangat agar mereka kembali tenang.

Tiba-tiba Asmah keluar dari khemah dengan tergesa-gesa dan mengadu kesakitan pada jari kelingkingnya sebelah kanan. Azwan dengan pantas memeriksa jarinya dan mendapati jari Asmah telah disengat seekor tebuan. Azwan menyapu ubat yang dibawanya dan memicit-micit jari Asmah sehingga bias tebuan itu keluar. Asmah menangis kerana menahan kesakitan manakala rakannya yang lain cuba menenangkannya. Walaupun dalam kesakitan Asmah tetap mahu meneruskan perjalanan untuk keluar dari hutan itu.

Selepas itu, aku mencadangkan agar mencari tanah lapang atau sungai yang berdekatan agar mudah dikesan oleh renjer hutan. Selepas itu, kami mengemaskan barang dan bersedia untuk meneruskan perjalanan. Ketika sedang berjalan-jalan, kami terdengar deruan air sungai yang mengalir di hadapan kami. Aku berasa amat gembira kerana dapat menemui sebatang sungai yang dapat membantu kami pulang dengan lebih cepat.

Memandangkan kawasan di seberang sungai lebih sesuai untuk dilalui, kami mengambil keputusan untuk menyeberangi sungai itu. Aku memulakan cabaran itu dengan mudah. Begitu juga dengan Syafiq, Asmah dan Zamri. Ketika giliran Azwan, dia kelihatan agak gementar dan dia tergelincir tetapi sempat diselamatkan oleh Zamri yang berada berdekatan Azwan ketika itu. Namun, kit pertolongan cemasnya hanyut dibawa arus ketika keadaan kelam-kabut itu.

Setelah semuanya selesai menyeberang, awan mendung mula menutupi cahaya mentari. Hujan rintik-rintik mula turun membasahi bumi. Asmah mula mendesak kami untuk mencari tempat berteduh. Azwan segera menuding jari ke arah pintu sebuah gua berhampiran dengan tebing sungai. Kami bersetuju untuk memasuki gua itu walaupun nampak kelihatan amat menakutkan. Walaupun ketakutan, namun kami bersyukur kerana dapat mencari tempat berteduh daripada ditimpa hujan yang semakin lebat di luar pintu gua. Kami sempat berbual dan bergurau senda sementara menunggu hujan reda.

Tiba-tiba kami terdengar bunyi suara seperti seekor beruang yang berada di kawasan itu. Bunyi suara itu semakin kuat dan mungkin berada di dalam gua yang sama. Ketika kami sedang meneliti bunyi suara itu, kami ternampak seekor beruang matahari berlari menuju ke arah kami dalam keadaan marah. Kami lari lintang-pukang kerana tahu padah yang akan menimpa jika masih berada di situ lagi. Walaupun hujan masih lebat, kami tetap sabar menempuh cabaran.

Ketika hujan beransur reda, kami masih berehat di satu kawasan lapang kerana kepenatan selepas berjaya meloloskan diri dari bahaya. Tiba-tiba kami terdengar bunyi helikopter, lalu kami dengan pantas bersama-sama mengambil batu-batu di dalam sungai berhampiran dan membentuk perkataan S.O.S (Save Our Soul). Tidak lama kemudian sebuah helikopter mendarat di kawasan tanah lapang untuk menyelamatkan kami. Kami terus dibawa menaiki helikopter tersebut untuk keluar dari hutan dan pulang ke rumah. Kami amat bersyukur kerana tiada peristiwa yang tidak diingini berlaku terhadap kami berlima. Kami juga selamat bertemu dengan keluarga masing-masing setelah puas meredah hutan.

Inilah pengalaman paling mencabar yang sukar aku lupakan dalam hidup. Aku berharap pengalaman ini menjadi pengajaran sekiranya aku ingin melakukan aktiviti itu sekali lagi.

AfaRa 07

SK Parit Melana

No comments:

Post a Comment